Sabtu, 30 April 2011

Banyak Mana Bayi Perlukan susu

Semasa memberi susu formula kepada bayi, salah satu perkara yang amat mengelirukan ialah bagaimana hendak menentukan jumlah susu yang diperlukan olehnya. Tiada jawapan yang pasti untuk soalan ini – ia berdasarkan kepada usia bayi anda, berat badannya dan sama ada anda menyusukan dia dengan susu formula sahaja atau mencampurinya dengan susu badan atau makanan pejal. Di sini diberikan beberapa panduan untuk membantu anda menentukan jumlah susu formula yang diperlukan oleh bayi anda:

Darabkan berat bayi anda dengan 2.5-2.7 auns formula
Jika bayi anda tidak mengambil sebarang makanan pejal (umur yang disarankan untuk mula makan makanan pejal ialah enam bulan), perkiraan yang biasa dipakai bagi menentukan jumlah susu formula ialah 2.5-2.7 auns (oz) bagi setiap per paun (lb) berat badan. Jadi jika berat bayi anda ialah 6lb, dia perlu minum susu formula sebanyak 15 atau 16 auns dalam tempoh 24 jam. Jika beratnya ialah 10lb, dia harus minum susu lebih kurang 25-27 auns dalam jangka masa 24 jam.
Sila ambil perhatian: perkiraan yang biasa dipakai ini tidak begitu tepat untuk digunakan bagi ukuran metrik.

Harap ingat bahawa perkiraan yang disarankan ini merupakan garis panduan am, dan doktor keluarga atau pakar pediatrik anda boleh menasihatkan anda mengenai jumlah susu formula secara betul bagi bayi anda semasa ia membesar. Selain itu, garis panduan ini tidak boleh digunakan untuk bayi pramatang atau bayi yang dilahirkan kurang berat –jadi, mintalah nasihat daripada doktor anda sekiranya bayi anda termasuk dalam salah satu daripada dua kategori ini.

Mengambil kira usia bayi anda
Jumlah susu formula yang diperlukan oleh bayi anda bukan hanya bergantung kepada beratnya sahaja, tetapi juga usianya. Jangan harap bayi yang baru lahir (atau mana-mana bayi) mengikuti jadual tertentu atau sesuatu yang berasaskan matematik.

Untuk bayi yang baru lahir, cuba berikan hanya 30-60ml (2 auns) susu formula setiap kali dia menyusu pada minggu pertama. Apabila bayi anda berusia satu bulan, dia mungkin akan mengambil 90-120ml / 3 atau 4 auns setiap kali dan akan mengambil 400-800ml / 14-28 auns sehari. Tidak lama nanti anda akan tahu sama ada bayi anda mahu jumlah yang lebih – dia akan menghabiskan botolnya dengan cepat dan akan meminta lagi!

Dari usia dua bulan sehingga usia enam bulan, anda perlu memberikan bayi anda sebanyak 120-180ml / 4-6 auns setiap kali dia menyusu, dan ini bermakna dia mengambil dari 700ml sehingga lebih dari 1 liter / 23-35 auns, dalam masa sehari.

Apabila bayi anda mencecah usia enam bulan, anda boleh memberinya di antara 180-220ml / 6-8 auns setiap kali dia menyusu, dan dia seharusnya mengambil lebih kurang 900ml / 32 auns formula setiap hari.

Apabila anda mula menambah makanan pejal ke dalam dietnya, jumlah susu formula yang diambilnya perlu dikurangkan secara berperingkat sehingga kira-kira 720ml / 24 auns. Agensi Piawaian Makanan UK menyarankan bahawa apabila bayi anda telah membiasakan diri dengan makanan pejal (mengambil tiga hidangan sehari), dia seharusnya mengambil kira-kira 600ml / 20 auns atau satu pain susu formula sehari bersama pelbagai makanan lain sehingga usianya satu tahun. Selepas usia satu tahun, dia boleh bertukar dari formula ke susu lembu penuh krim.

Ingatlah bahawa ini hanya merupakan garis panduan am sahaja, dan anda akan mendapat tahu dari bayi sama ada dia mendapat terlalu banyak atau terlalu sedikit susu formula. Jika anda tidak pasti, sila bercakap dengan doktor anda.

Jangan menggantikan susu formula dengan makanan pejal terlalu awal
Apabila anda memperkenalkan makanan pejal kepada bayi anda pada usia kira-kira enam bulan, susu badan atau susu formula masih merupakan nutrisi utamanya sehingga dia berusia setahun. Semasa bayi sedang membiasakan diri dengan makanan pejal (maksudnya bayi anda mengambil makanan pejal kurang daripada tiga kali sehari atau tidak makan banyak setiap kali), pada masa ini kebanyakan bayi tidak mendapat makanan pelbagai yang secukupnya untuk memenuhi keperluan nutrisinya. Pada peringkat ini, pengambilan susu formula setiap hari sepatutnya di sekitar 720ml / 24 auns. Elakkan jus yang tidak mempunyai nutrisi yang sama dengan susu formula.

Bayi andalah yang akan membimbing
Semua bayi bukan mempunyai selera yang sama dan kebanyakan bayi bertukar selera dari hari ke hari dan bulan ke bulan. Bayi anda akan makan apabila dia memerlukan, yang penting ialah anda mengetahui kiu atau petanda yang diberinya dan bertindak balas secara yang sesuai. Pastikan anda tidak memberikan susu secara automatik setiap kali bayi anda menangis - lama-kelamaan anda akan dapat membaca perlakuannya dan mula mengetahui sama ada dia lapar atau hanya memerlukan perhatian.

Sumber Rujukan:
http://www.babycenter.com.my/malay/baby/formula/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan